Nuramirah hanya perlu dua tahun menjadi hafizah

Oleh Norliza Abd. Rahman

KEMAMPUANNYA menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia tujuh tahun amat membanggakan dan kejayaannya muncul naib johan pertandingan tahfiz peringkat negeri Perak pada sambutan Maulidur Rasul 11 April lalu memberi kepuasan kepada kedua-dua ibu bapanya yang berjaya mengasah bakat luar biasanya.

Nuramirah Azhari, 10, yang mula mengenal al-Quran pada usia lima tahun berjaya menamatkan hafalannya dua tahun kemudian selepas dilatih sehelai muka surat setiap hari oleh ibunya, Nurzahidah Hashim, 37. Dia belajar antara tujuh hingga lapan jam sehari.

Tanpa menunjukkan sebarang rasa jemu, Nuramirah empat beradik bersama abangnya Muhammad Adam, 12, Nurnabilah, 8, dan Muhammad Amin, 5, berlatih menghafaz al-Quran empat kali sehari iaitu waktu pagi, tengah hari, petang dan malam untuk mengasah daya ingatan mereka.

Lebih membanggakan Nuramirah sudah mempunyai 10 anak murid berusia antara enam hingga 12 tahun sejak setahun lalu dan dia berazam memastikan anak-anak muridnya itu berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh dua tahun dengan berlatih sehelai muka surat setiap hari.

Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tengku Husin, Gugusan Manjoi, Ipoh, Perak, Nuramira menyatakan rasa gembira kerana tarikh lahirnya mengikut kalendar Islam adalah sama dengan tarikh lahir Rasulullah s.a.w..

"Mungkin ini kelebihannya (sama tarikh lahir dengan Rasulullah), tetapi yang penting kalau hendak jadi seorang huffaz atau hafizah yang baik kita mesti berlatih bersungguh-sungguh," katanya yang bercita-cita menjadi seorang doktor atau pensyarah universiti. Ibunya, Nurzahidah dan bapanya, Azhari Abu Hassan, 39, seorang pelukis pelan mengajar Nuramirah dan anak-anaknya menghafaz al-Quran setiap hari sebaik sahaja mereka berusia lima tahun sementara anak bongsunya, Muhammad Aslam, yang baru berusia dua tahun diberi pendedahan awal melihat abang dan kakaknya mengaji.


Jadual

Menurut Nurzahidah, beliau dan suami menyediakan jadual waktu khas untuk dipraktikkan oleh anak-anaknya. Bermula pukul 5 pagi mereka disuruh bangun membersihkan diri untuk bersolat tahajud, subuh dan membaca al-Quran sebelum berehat selama sejam setengah bermula pukul 7 pagi.

Selepas dikejutkan semula pada pukul 8.30 pagi untuk membersihkan diri dan bersarapan mereka akan berlatih semula menghafaz al-Quran pada pukul 9.45 hingga 1 tengah hari sebelum berhenti rehat untuk bersembahyang zuhur dan makan tengah hari.

Pada pukul 2 petang hingga 2.30 petang anak-anak diajar ilmu dakwah, akhlak, matematik, sains dan bahasa Inggeris. Mereka akan direhatkan selama sejam untuk tidur pada pukul 3 hingga 4 petang sebelum dikejutkan
untuk sembahyang asar dan kembali menghafaz al-Quran sehingga pukul 6.15 petang.

Nurzahidah memberitahu, anak-anaknya akan berehat semula selama 45 minit untuk bermain dan pada sebelah malam seawal pukul 7 mereka sudah dihidangkan makan malam sebelum kembali menghafaz sehingga pukul 9.45 malam bersama anak-anak muridnya seramai lebih 30 orang.

"Pada pukul 10.30 malam hingga 11.30 malam mereka akan disuruh berlatih sekali lagi menghafaz dan pada waktu malam juga saya akan turut mengumpulkan anak-anak untuk bermuzakarah bagi memberi ruang kepada mereka meluahkan masalah masing-masing kerana pendekatan kami berdamping sambil mendidik.

"Inilah amalan harian kami dan pada hari-hari tertentu saya akan pastikan anak-anak dibawa menziarahi sanak-saudara atau sahabat handai serta membawa mereka beriadah seperti pergi ke taman permainan atau berenang. Kami tidak mahu mengongkong kehidupan zaman kanak-kanak mereka," jelasnya.

Walaupun memilih untuk tidak menghantar anak-anaknya mengikuti pendidikan formal, Nurzahidah dan Azhari mengajar mereka membaca, menulis dan mengira di rumah dan tetap bertegas untuk mengekalkan cara didikan sedemikian dengan mendaftarkan mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
atau Sijil Menengah Agama kelak.


Ilmu akhirat

Dengan alasan tersendiri mereka mahu kesemua anaknya dibekalkan dengan ilmu akhirat kerana yakin dengan cara tersendiri anak-anak akan menjadi manusia berguna dan kukuh pegangan agama berbanding anak-anak yang dihantar ke sekolah biasa.

"Anak yang dihantar ke sekolah tidak akan berada di rumah untuk tempoh yang panjang, pagi ke sekolah, petang mereka mengikuti aktiviti kokurikulum, pergi mengaji dan malam mengikuti kelas tuisyen, justeru
berapa jam yang ada untuk kita bersama-sama mereka," soalnya.

Mengenai petua yang diamalkan, Nurzahidah memberitahu, semasa mengandung beliau akan membaca surah Yasin, membaca al-Quran dan banyak berdoa ketika bersolat. Beliau juga akan memastikan hanya mendapat pemeriksaan dan rawatan daripada doktor wanita ketika mengandung sehingga melahirkan anak.

Dari segi pemakanan pula, beliau tidak menyediakan masakan tertentu sebaliknya percaya air tangan setiap ibu merupakan pengikat kasih yang paling mustajab untuk melembutkan hati anak-anak kerana bermula daripada menumis sehingga menghidangkan makanan beliau akan berselawat dan membaca doa tertentu.

"Saya dan suami akan duduk bersama anak-anak untuk bersarapan, makan tengah hari, petang dan malam bersama-sama kerana pada kesempatan itu kita boleh bermuzakarah dan menjelaskan kepada mereka tentang sesuatu perkara seperti hubungan erat sesama keluarga, sanak saudara dan sahabat," katanya.

Sementara itu, Azhari memberitahu, untuk membolehkan anak-anak memberi tumpuan kepada menghafaz al-Quran, rumahnya tidak mempunyai televisyen. Sebaliknya mereka hanya menyediakan sebuah radio untuk membolehkan keluarga mengikuti perkembangan semasa.

"Alhamdulillah anak-anak tidak pernah bersungut kerana sejak kecil lagi mereka sudah diajar supaya menjadi seorang tahfiz, malah saya bimbang dengan adanya televisyen tumpuan mereka pada al-Quran sedikit terganggu.

"Saya juga tidak akan memewahkan anak-anak dengan wang ringgit kerana tidak mahu mereka lalai sebaliknya membelikan barangan yang perlu sahaja," katanya.

Menurut Azhari, ibu bapa yang berhasrat mendidik anak sebagai tahfiz perlu mengikis tanggapan bahawa mereka juga perlu menjadi tahfiz kerana beliau dan isteri bukannya tahfiz tetapi bersyukur kerana dapat mendidik anak-anak sebagai tahfiz dan mempunyai lebih 30 anak murid.


Kembangkan kaedah hafaz al-Quran Nuramirah

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Pencipta kaedah menghafaz al-Quran yang diberi nama Al-Huffaz, Dr. Mohd. Shafie Md. Amin bersyukur dan berkongsi kegembiraan dengan kemampuan Nuramirah Azhari, 10, menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia tujuh tahun.

"Hakikatnya, dari segi keupayaan menguasai al-Quran, ia tidak bergantung kepada faktor usia semata-mata. Kalau kes seperti di atas berlaku, alhamdulillah... namun ia tidak bermaksud anak yang sudah dewasa tidak
berpeluang bergelar hafiz atau hafizah. Ini satu tanggapan yang kurang tepat.

"Apa yang kita perlu ingat, setiap kelebihan yang diperoleh itu adalah pemberian Allah s.w.t. dan bagaimana kita berhadapan dengan situasi sedemikian, itulah yang lebih penting. Adakah kejayaan itu menjadikan kita
bangga diri atau sebaliknya?

"Saya lebih suka sekiranya dilakukan satu kajian bagaimana kanak-kanak ini mampu menguasai al-Quran kerana berkemungkinan kaedah yang digunakan itu boleh dikongsikan dan manfaatnya adalah lebih meluas," katanya yang turut mempunyai dua pasang anak yang menghafaz al-Quran semasa di peringkat sekolah rendah lagi.

Sementara itu Imam Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Ustaz Hassan Al-Fadhli Abdul Rahman, 38, pula berkata, untuk melahirkan seorang hafiz atau hafizah aspek seperti pemakanan, persekitaran dan asuhan adalah amat penting dijaga. Ini kerana banyak kisah yang membuktikan bahawa ia mempengaruhi kemahiran menghafaz seseorang itu.

Katanya lagi, kanak-kanak yang mempunyai al-Quran di dada hakikatnya lebih mudah untuk menimba ilmu-ilmu akademik.

"Ini kerana ia pernah berlaku dalam keluarga saya sendiri serta seorang teman baiknya. Saya dapati lebih sepuluh orang bergelar hafiz dalam keluarga saya mampu menguasai bidang lain biarpun pada usia yang dikira lewat," katanya. Beliau menasihati sebaik-baiknya seorang itu bukan sahaja bergelar hafiz tetapi turut buktikan kejayaan dalam bidang kerjaya.

Bagi Penyelia Unit Pembangunan Insan di Sekolah Integrasi As-Syakirin, Shah Alam, Arifin Aziz, terdapat beberapa latar belakang seseorang itu berjaya menghafaz al-Quran. Pertama, ibu bapa, pendidikan dan
persekitaran.

"Imam Syafie bergelar hafiz sewaktu berusia tujuh tahun kerana keprihatinan ibu bapa beliau tentang agama. Ibunya pula sepanjang mengandung berkali-kali khatam dan sentiasa berdoa agar anaknya menjadi hafiz. Malah para saintis turut mengakui bahawa bayi di dalam kandungan boleh mendengar.

"Dalam kes Syeikh Abdul Kadir Jailani iaitu seorang wali Allah, beliau amat menjaga soal pemakanan. Kisah Nuramirah yang berjaya menghafaz al-Quran pada usia tujuh tahun adalah sesuatu yang tidak mustahil kerana telah dibuktikan oleh ulama sebelum ini.

"Sungguhpun ada yang mengatakan kebolehan ini adalah satu bakat semula jadi tetapi kalau ia tidak diasah dan dididik, hasilnya juga tidak menjadi," katanya yang turut berkeinginan melihat anak-anaknya bergelar
hafiz dan hafizah.

Tambah Arifin, Allah s.w.t. mengurniakan banyak kelebihan dan keistimewaan kepada golongan penghafaz al-Quran antaranya diberi syafaat memilih 10 orang untuk dibawa masuk ke syurga dan mereka adalah orang kedua selepas Baginda Rasulullah s.a.w. yang akan masuk ke syurga Allah.


Motivasi

Penyelia Diniyah dan Hafazan di sekolah yang sama, Basir Mohd. Piah pula berpendapat, kebolehan menghafaz al-Quran pada usia tujuh tahun di Malaysia adalah sesuatu yang luar biasa tetapi jika dilihat di
negara-negara Arab, kebolehan menghafaz adalah jauh lebih awal iaitu pada usia lima tahun.

"Peranan ibu bapa amat penting dalam melahirkan hafiz dan hafizah di kalangan masyarakat Islam kita. Mereka bukan sahaja berperanan menyediakan pengajar tetapi pada masa yang sama perlu sentiasa memberi galakan atau motivasi dan memberi insentif di atas segala perkembangan dan pencapaian positif mereka.

"Selain itu aspek kehalalan makanan, sumber rezeki yang diberkati dan niat suci guru yang mengajar juga diambil kira," katanya.

Ibu beranak tiga, Azlida Nik Noor, 42, berkata, meskipun didikan agama serta penguasaan al-Quran wajib diterapkan ke atas anak-anak namun pendidikan formal juga tidak boleh diketepikan.

"Berkemungkinan pada usia peringkat sekolah rendah mereka tidak menimbulkan masalah. Walau bagaimanapun, cabaran alam remaja adalah satu bentuk cabaran yang terpaksa dilalui oleh setiap yang bergelar ibu bapa," katanya yang mengakui seronok apabila terbaca kisah Nuramirah.

Pendidik Nor Shafiza Sabudin, 31, pula menyifatkan ibu bapa Nuramirah beruntung kerana memiliki anak-anak yang cemerlang dalam bacaan al-Quran apatah lagi kejayaan tersebut adalah hasil titik peluk mereka sendiri.

"Anak-anak yang ada al-Quran di dadanya sudah pasti ruh al-Quran itu sudah terserap dalam jiwanya. Malah mereka ini juga boleh berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi. Insya-Allah," kata ibu beranak dua ini.

Pun begitu, beliau ingin berkongsi kisah seorang teman yang hanya menerima pendidikan tahfiz al-Quran sepanjang hidupnya tetapi dalam realiti kehidupannya sekarang menghadapi sedikit kesukaran.

1 comments:

wow.. siapa pernah dengar kaedah jibril?

March 2, 2011 at 12:00 AM  

Newer Post Older Post Home